KLANG: Columbia Pacific Management Group membuka kediaman komuniti warga emas yang pertama di Malaysia iaitu Pacific Senior Living @ Acacia dengan harga penginapan bermula daripada RM8,500 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Senior Living Sdn Bhd, Carl Nicholas Isaac, berkata kediaman itu menampilkan suasana seperti resort, kemudahan perubatan terkini dan perkhidmatan premium yang direka teliti untuk individu berumur 60 tahun ke atas.
Katanya, Acacia menawarkan sejumlah 136 bilik yang direka teliti, menampilkan tiga susun atur berbeza berukuran 312 kaki persegi hingga 592 kaki persegi yang termasuk pilihan bilik Superior, Eksekutif dan Premier.
“Kediaman serba moden ini telah direka bentuk dengan penuh teliti, menggabungkan elemen yang memberi perhatian kepada perincian seperti kelengkapan dan perabot anti-jatuh serta susun atur ergonomik.
“Ia menawarkan pelbagai kemudahan yang komprehensif, termasuk kolam renang, jakuzi panas, kawasan barbeku, bilik hiburan (karaoke dan bilik tayangan), antara lain.
“Acacia juga menawarkan kemudahan khusus seperti perkhidmatan fisioterapi dalaman dan bengkel hobi, untuk memenuhi pelbagai minat penghuni,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan kediaman komuniti berkenaan di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli meninjau bangunan dan kemudahan kediaman komuniti itu.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Isaac berkata, pihaknya mempunyai rancangan untuk menambah cawangan kediaman berkenaan pada masa akan datang.
“Kami akan membuka lagi beberapa kediaman seperti ini dalam negara, saya tidak boleh nyatakan jumlah sebenar, tetapi tumpuan buat masa ini adalah di dalam Lembah Klang.
“(Namun) kami berharap dapat mengembangkan kehadiran ke negeri lain termasuk di Malaysia Timur dan Johor pada masa akan datang,” katanya.
Beliau menjelaskan, Klang dipilih sebagai lokasi pertama di Lembah Klang kerana demografi warga emas yang semakin bertambah di daerah itu.
“Selain itu, lokasi ini juga terletak tidak jauh dengan pusat penjagaan kesihatan dan hospital, hanya tiga kilometer dengan hospital Columbia Asia Klang dan hospital kerajaan.
“Kedudukannya juga strategik di pusat bandar Klang dan tidak jauh dari bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.
Pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan kadar huni di kediaman komuniti warga emas itu sehingga 20 peratus dalam tempoh setahun akan datang.
“Ketika ini, kediaman ini baru mempunyai lima penghuni dan berharap ia akan bertambah pada masa akan datang,” katanya.